Pengenalan
Pengantar
Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang
patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh
agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap
kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan
rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan
perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti.
Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan
penambahbaikan berterusan.
Latar Belakang
Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan
kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah
mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta
yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta
diperbanyakkan modal budayanya.
Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan
berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri
yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga
perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif,
berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru,
mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan
persekitaran global yang sering berubah.
Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada
globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia
memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing
di pasaran kerja global.
Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia
adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan
kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya
usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti
pendidikan seperti petikan yang berikut:
”... as the most significant and costly resource in schools, teachers
are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and
equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that
competent people want to work as teachers, that their teaching is of
high quality, and that all students have access to high quality
teaching.”
(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan
daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha
untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang
berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di
sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan
termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem
pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan
perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.
Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia
merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama
Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam
(IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan
untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh
negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga
aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan,
pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam
membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru,
pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.
Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
- guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan,
pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran
yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional
dengan berkesan,
- agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan
yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga
pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti
untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan
bermutu tinggi,
- KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar
standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan
- Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru
selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang
menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.
Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
- mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan
nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta
kemahiran pengajaran dan pembelajaran,
- mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan
oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap
kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi
pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan
perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
Penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
- pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,
- Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan
- proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.
Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
- Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
- Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri
- Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan
- Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard
- Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus (guru dalam perkhidmatan)
- Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard
- Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
- Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
- Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.
- Guru Besar dan Pengetua Sekolah
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
- Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.
- Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
- Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.
Berikut adalah penjelasan kepada istilah yang digunakan dalam dokumen
Standard Guru Malaysia, Panduan Standard Guru Malaysia dan Instrumen
Standard Guru Malaysia.
- Guru
- Tiga kategori guru yang dimaksudkan ialah guru terlatih yang sedang
mengajar di sekolah, guru terlatih yang sedang mengikuti kursus dalam
perkhidmatan di institusi latihan perguruan, dan guru pelatih yang
sedang mengikuti kursus praperkhidmatan di institusi latihan perguruan.
- Institusi Pendidikan
- Sekolah atau mana-mana tempat lain, di mana dalam menjalankan kerja
sesuatu organisasi atau institusi, individu lazimnya diajar, sama ada di
dalam satu kelas atau lebih.
- Standard
- Pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru.
- Keperluan
- Pernyataan aspek latihan perguruan yang patut disediakan dan dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
- Bilik Darjah
- Lokasi dan ruang di mana sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, termasuk bilik kuliah, bengkel dan makmal.
- Kompetensi
- Kemahiran profesional guru berdasarkan amalan nilai profesionalisme,
pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
- Institusi Latihan Perguruan
- Organisasi yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan
latihan perguruan termasuklah IPG dan fakulti pendidikan di Institusi
Pengajian Tinggi (IPT).
- Agensi Latihan Perguruan
- Organisasi yang menggubal dasar dan memantau pelaksanaan latihan perguruan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan BPG
- Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
- Institusi yang melaksanakan latihan perguruan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Sekolah
- Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, sekolah teknik, sekolah pendidikan khas, sekolah vokasional.
- Murid
- Pelajar sekolah yang menerima pengajaran dan pembelajaran daripada guru.
- Program
- Susunan kursus dan isi kandungan pembelajaran yang dirancang serta
direka bentuk bagi suatu tempoh tertentu untuk mencapai hasil
pembelajaran seperti yang ditentukan dalam matlamat dan objektifnya.
Program yang dimaksudkan akan menjurus kepada penganugerahan sesuatu
kelayakan.
- Kursus
- Unit asas pembelajaran yang membentuk sesuatu program, mempunyai
hasil khusus, kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta
kaedah penilaian bagi menyokong pencapaian hasil pembelajaran.
- Kurikulum
- Skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi latihan
perguruan. Kurikulum merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma,
nilai, unsur kebudayaan, dan kepercayaan untuk membantu perkembangan
seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental
dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang
diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
- Aktiviti Kokurikulum
- Aktiviti persatuan atau kelab, sukan dan olahraga, serta unit
beruniform yang wajib diikuti oleh semua guru pelatih yang mengikuti
latihan perguruan.
- Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)
- Guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada
mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan
guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen,
refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.
- Minggu Orientasi Sekolah (MOS)
- Guru pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI SR)
Jawi, Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) ditempatkan di sekolah
selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah
sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik
darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi
dengan guru dan komuniti sekolah.
- Praktikum
- Semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan di tempatkan di
sekolah untuk pengalaman praktik di dalam dan di luar bilik darjah.
Praktikum menyediakan peluang kepada guru pelatih mempraktikkan teori
dalam amalan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan teori
pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri.
- Penilaian
- Pengukuran berterusan yang dijalankan sepanjang tempoh kursus
pengajian atau program latihan dan termasuklah apa-apa peperiksaan
bertulis yang membawa markah atau gred bagi sesuatu kursus atau program
latihan atau sebahagian daripadanya.
- Pembangunan Profesionalisme Berterusan
- Program latihan secara sistematik yang menjurus ke arah peningkatan
profesionalisme dan pembangunan kerjaya serta kecemerlangan
perkhidmatan.
- Hasil Pembelajaran
- Penguasaan guru dalam amalan nilai profesionalisme keguruan, ilmu
pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
- Pihak Berkepentingan
- Pihak yang mempunyai kepentingan bersama secara langsung dalam
konteks perkhidmatan pendidikan. Contohnya sekolah, ibu bapa, penaja,
ketua perkhidmatan.
- Budaya IPG
- Amalan kerja warga IPG bertujuan mewujudkan identiti institusi
unggul yang melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan
progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, serta
menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu,
dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif
dan berdisiplin.
- Infrastruktur
- Kemudahan fizikal di institusi latihan perguruan bagi menyokong
penterjemahan dan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum yang berkesan,
bermakna dan menyeronokkan.
- Infostruktur
- Pemilihan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)
secara berkesan, jaringan dalaman dan luaran serta perkhidmatan pusat
sumber.
- Pengurusan Kualiti
- Mekanisme dan kerangka kualiti semua proses aktiviti organisasi bagi menjamin kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
- Pendidik Guru
- Merupakan individu yang bertauliah yang melatih guru di institusi latihan perguruan.